Monday, December 14, 2009

Mikropengawal (µC) atau Mikropemproses (µP)?

Mikropengawal (microcontoller atau µC) berbeza dari mikropemproses (microprocessor atau µP).

Ciri utama µC ialah kepelbagaian fungsi periferal dan memori dalam satu cip. Ini mengurangkan jumlah komponen dalam sistem, menjimatkan kos dan meningkatkan reliabiliti sistem.

µP seperti Intel Core i7 dalam PC hanya mengandungi unit pemprosesan pusat (central processing unit atau CPU). Mikropemproses tidak mempunyai memori, fungsi input/output seperti liang selari dsb yang diperlukan untuk membina satu sistem komputer lengkap. µP direka untuk menyediakan fungsi aritmetik dan logik pada tahap paling laju. Komponen lain disediakan oleh cip dan peranti luaran. Ini membolehkan µP disesuaikan dengan pelbagai keperluan pengguna PC.




Apabila melihat µC, kita akan perhatikan bahawa ia mengandungi memori, liang selari, jam, dan banyak fungsi periferal yang tidak terdapat pada µP. µC selalunya digunakan dalam produk terbenam seperti ketuhar gelombang mikro, pengawal enjin kereta, telefon bimbit dsb. Rekabentuk dan pengaturcaraan bagi produk sedemikian adalah bidang khusus yang dikenali sebagai reka bentuk terbenam (embedded design).




Perbezaan lain antara µC dan µP ialah µC direka untuk satu fungsi saja manakala µP boleh diprogram untuk melakukan apa saja yang diingini oleh pengguna. Kebiasaannya µC terletak dalam satu peralatan lain, dan pengguna tidak perlu dan tidak boleh menukar fungsi peralatan tersebut. Contonya µC yang mengawal ABS pada kereta hanya boleh melakukan tugas itu sahaja. Sebarang perubahan pada program sebenarnya akan mengundang bahaya.

No comments:

Post a Comment